Memiliki harta merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita semua. Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan bersyukur atas segala nikmat yang diperolehi dengan membelanjakan hartanya pada jalan Allah, nescaya Allah SWT akan membalas segala amal baik yang telah dilakukannya.
Firman Allah SWT :
“Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, – sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahala-Nya.”
( Surah al-Muzzammil ayat 20 )
Sesungguhnya orang yang sentiasa bersedekah akan mendapat naungan di hari akhirat kelak. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda bahawa ada tujuh golongan manusia yang mendapat naungan arasy Allah di akhirat kelak salah satunya adalah golongan orang yang bersedekah:
“Dan seseorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Selain itu amalan bersedekah juga boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Hadis daripada Muaz bin Jabal Radhiallahu Anhubahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Dan sedekah melenyapkan kesalahan (dosa) sebagaimana air memadamkan api.”
(Riwayat al-Tirmidzi).
Bersedekah atau berinfaq tidak akan menjadikan seseorang itu miskin bahkan mempermudahkan ia memperoleh sumber rezeki.
Firman Allah SWT :
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hambahamba-Nya, dan ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaikbaik pemberi rezeki.”
( Surah al-Saba’ ayat 39 )
Sekecil mana sedekah yang dihulurkan, ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan, malah ‘buah tangan’ yang tidak seberapa mampu menerbitkan senyuman, walaupun cuma untuk seketika. Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka yang dalam kesempitan.
Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).”
(Riwayat al-Bukhari).
Amalan menyampaikan sumbangan dengan penyerahan replika cek sebagai gimik dalam majlis-majlis tertentu sudah menjadi kebiasaan. Sama ada sumbangan individu atau syarikat, ia bertujuan menggalakkan pihak lain mencontohi amalan baik ini. Ia biasanya melibatkan sumbangan untuk mereka yang ditimpa musibah besar seperti kebakaran, kemalangan, bencana alam mahupun penyakit kritikal atau kronik.
Mereka yang memulakan amalan baik ini yang diikuti pula oleh pihak lain akan mendapat pahala yang melimpah-ruah sebagaimana disebut dalam hadis bernombor 1893 Riwayat Muslim, “Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.”
Hebatnya mereka yang berada dalam golongan ini. Dengan izin ALLAH SWT, pahala yang berganda akan berterusan mengalir sebagai bekalan di akhirat kelak.
Hadis di atas seiring dengan ayat 261 Surah al-Baqarah yang bererti “Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan ALLAH adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir tumbuh 100 biji. ALLAH melipatgandakan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan ALLAH Maha Luas lagi Maha Mengetahui”.
Bagaimana pula dengan mereka yang menyampaikan sedekah secara sembunyi dan merahsiakan identiti mereka? Ia bergantung pada niat masing-masing namun terdapat panduan melalui firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 271 yang bererti, “Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan ALLAH akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu; dan ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Oleh itu, sama-samalah kita berwaspada dalam setiap amalan kita. Suburkan amalan bersedekah namun sentiasa jaga hati agar niat kita benar-benar untuk membantu mereka yang memerlukan dengan harapan mendapat reda ALLAH dan keampunan-Nya dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk serta mendapat pujian dan pengiktirafan manusia. Pada akhirnya apa yang kita perlukan adalah semoga segala perbuatan dan amalan kita menjadi ibadat yang diterima di sisi ALLAH SWT.



