Sedekah sebenarnya mempunyai maksud yang cukup luas dalam Islam. Sedekah boleh didefinisikan sebagai pemberian oleh seseorang kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. sama ada pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, sanak-saudara, mahupun untuk kepentingan fi sabilillah.
Kita sangat digalakkan untuk sedekah kerana ia adalah salah satu perkara yang sangat disukai Allah. Di bawah ini disertakan dalil yang menguatkan lagi amalan sedekah di muliakan oleh Allah.
Firman Allah SWT:
إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah: 271)
Firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُصَّدِّقِينَ وَالْمُصَّدِّقَاتِ وَأَقْرَضُوا اللَّهَ قَرْضاً حَسَناً يُضَاعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌ كَرِيمٌ
Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid: 18)
Firman Allah SWT:
لَا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِنْ نَجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ ۚ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (Surah An-Nisa’ : 114)
Syarat dalam Sedekah
Terdapat dua syarat yang perlu kita tahu apabila ingin bersedekah, iaitu:
Sumber yang halal
Sumber yang halal penting dalam pemberian sedekah kerana Allah SWT tidak menerima wang sedekah yang bukan hak orang yang bersedekah. Carilah rezeki yang halal untuk melakukan amalan sedekah ini
Ikhlas
Ikhlas juga penting dalam memberi kerana Allah SWT tidak suka timbul sifat riak yang ada dalam diri apabila bersedekah. Contohnya, bersedekah untuk menunjuk-nunjuk jumlah yang diberikan kepada orang lain. Jauhi sifat ini dalam bersedekah agar hidup kita sentiasa diberkati oleh Allah SWT.
Rahsia Di sebalik Kita Sering Mengamalkan Bersedekah
Bersedekah dan berinfak tidak akan sesekali menyebabkan harta seseorang itu semakin berkurangan, namun ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta, memanjangkan usia serta melancarkan rezeki yang dikurniakan Allah. Sebab itu, bagi menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan kita hari ini, sedekah adalah jalan penyelesaiannya. Secara logiknya, apabila berada dalam kekurangan, pasti kita mengharapkan orang lain memberikan sesuatu.
Bagaimanapun, perkara itu perlu diubah. Kita perlu berusaha untuk bersedekah walaupun dalam keadaan kekurangan selain meyakini amalan itu menyebabkan diri kita akan memperoleh banyak kelebihan. Contohnya, jadikan amalan setiap kali pergi ke masjid, sebelum atau selesai solat kita derma dalam tabung masjid. Walaupun jumlah atau nilainya sedikit namun kesusahan kita mengeluarkan itu yang dinilai Allah.
Dalam satu hadis menerangkan, manusia jika mereka biasa bersedekah walaupun dengan sedikit kurma, ia mampu menghalang wajahnya daripada dibakar api neraka. Selain itu, apabila berada dalam keadaan bersedih juga kita mencari peluang untuk bersedekah. Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kegembiraan pada hati kita yang berdukacita itu.
Lihat bagaimana kisah Asma’ binti Abu Bakar iaitu anak sahabat karib Nabi SAW, Abu Bakar As-Siddiq. Beliau terkenal dengan sifat pemurah walaupun dirinya dalam keadaan tidak berkemampuan. Meskipun bapanya ahli perniagaan yang kaya raya, namun selepas berhijrah ke Madinah, Abu Bakar tidak meninggalkan sebarang harta buat keluarganya.
Begitu juga dengan suami Asma’, Zubair bin Awwam. Beliau seorang yang sangat dihormati dan berjaya juga dalam perniagaan. Namun, seluruh harta yang dimiliki turut diinfakkan di jalan Allah. Kemurahan hati dan sifat dermawan itu akhirnya turut mengalir dan sebati dalam diri Asma’. Diriwayatkan dari Qasim bin Muhammad, “Aku mendengar Ibnu Zubair berkata, ‘Tidak pernah aku melihat seorang wanita pun yang lebih murah hati dari Aisyah dan Asma’.
Dalam hadis riwayat Bukhari ada diceritakan, pada satu ketika Asma’ datang kepada Rasulullah kemudian dia bertanya, “Wahai Rasulullah! Aku tidak mempunyai apa pun selain yang dibawa pulang Zubair, apakah aku harus bersedekah?” Kemudian Rasulullah menyuruh Asma’ bersedekah dan tidak menyimpan hartanya. Kisah kemurahan hati Asma’ binti Abu Bakar itu sepatutnya dijadikan contoh buat diri kita.
Jika hendak melakukan sesuatu kebaikan seperti bersedekah, jangan terlalu banyak berfikir atau berkira untuk melaksanakannya kerana amalan itu sebenarnya sangat dekat dengan nilai ketakwaan.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 133-134 mengenai bersedekah yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Justeru, setiap apa yang diperintahkan Allah itu pasti ada manfaatnya. Bila Allah menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu sama ada dalam bentuk wajib atau sunat, walaupun pada awalnya dilihat begitu sukar, jika dilakukan pasti ada kemanisan pada akhirnya.
Ingatlah, segala harta dunia yang kita pakai atau pegang ketika ini belum tentu menjadi milik kita. Yang pasti, setiap sen atau harta diinfakkan di jalan Allah itu akan menjadi pelaburan di akhirat kelak di mana kebaikannya berkekalan.


