Ramai di antara kita yang pernah alami masalah kewangan atau kesuntukan duit dalam hidup. Jika kita masih seorang peleajar, setiap akhir bulan pasti kita sebagai seorang pelajar menghadapi masalah duit. Buat yang dah bekerja pula sering saja dikaitkan dengan hutang keliling pinggang.
Rezeki atau pun nikmat dikurniakan oleh Allah kepada manusia sesuai dengan sifat Al-RahmanNya. Disebabkan itulah jika kita lihat orang bukan Islam pun ada banyak harta yang melimpah ruah. Itulah sifat Al-Rahman Allah. Dia akan beri kepada sesiapa saja baik muslim atau pun non-muslim yang berusaha mencari rezeki.
Kita dididik untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk dapatkan sesuatu seperti rezeki. Usaha doa dan tawakal adalah kunci utama bagi untuk dapatkan apa yang telah diusahakan. Di sini, saya nak kongsikan beberapa amalan yang anda boleh cuba untuk dimurahkan rezeki.
Tarik Rezeki Dengan Bersedekah
Ramai yang tidak tahu bahawa amalan bersedekah mampu bawa rezeki yang melimpah-ruah kepada si pemberi rezeki. Amalan yang digalakkan oleh Islam sama sekali tidak akan kurangkan wang kita, malah menambah lagi rezeki dan kekayaan kita. Bersedekahlah tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Bersedekah bukan bermaksud kita bagi sekecil-kecil wang yang kita miliki tetapi membantu orang yang memerlukan dengan semampu yang boleh. Perkara yang paling penting niat mesti ikhlas.
Sedekah Mesti IKHLAS!
Kita sering kali tersilap dalam memberi sedekah dan berkata dalam hati, semoga sedekah yang dilakukan oleh aku ini akan mendapat balasan setimpal. Ubah mindset itu. Harus ingat dalam setiap rezeki yang diterima, pasti sebahagiannya milik orang lain.
Pernah tak lihat amalan masyarakat kita yang beri barangan atau pakaian buruk yang dah lama atau buku-buku yang ingin dibuang? Seeloknya, kita sedekah wang atau barangan yang masih baik, dalam keadaan elok. Bukannya dari barangan yang ingin dibuang. Kita nak bersedekah, bukan menolak “sampah” kita kepada mereka yang tak bernasib baik.
Tarik Rezeki Dengan Berdoa
Sebelum memulakan kerja, dahulukan dengan doa dan bismillah dulu sebagai rutin harian. Pohon keberkatan dari pekerjaan yang kita jalankan dan tanamkan niat berkerja untuk cari rezeki yang halal. Yang kita mahukan mestilah dilimpahkan rezeki yang halal dan paling penting, berkat.
Amalkan Solat Sunat Dhuha
Solat ini sering diamalkan oleh ahli perniagaan Muslim. Sehinggakan ada yang amalkan solat sunat ni seperti sebahagian solat wajib. Solat Dhuha ni satu-satunya solat yang berikan limpahan rezeki dari Allah SWT. Jika diamalkan selalu, InsyaAllah pintu rezeki akan terbuka luas. Solat dhuha ni ibarat magnet rezeki. Bila kita selalu solat dhuha, bergantung kepada Allah SWT, pasti segala apa yang dipohon akan segera datang kepada kita.



